Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin antara empat individu yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyertai protes jalanan #kitalawan, di hadapan Kompleks Sogo, pada Mac lalu.

Selain itu, Sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa Abd Talib, yang turut membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama orang lain yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu antaranya berhubung 'Reformasi dan Bebaskan Anwar' dan 'GST Ada Rakyat Mati Dengan Segera' pada 3.15 petang hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10, 000, jika disabit kesalahan.

Majistret Muhamad Faizal Ismail membenarkan kesemua orang kena saman (OKS) dibenarkan ikat jamin RM500 dan menetapkan 16 Oktober depan sebagai sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 12:38 PM