Sebahagian rakaman video lelaki pukul isteri menggunakan kasut yang tersebar.
Sebahagian rakaman video lelaki pukul isteri menggunakan kasut yang tersebar.
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Lelaki yang memukul isterinya menggunakan kasut di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Hitam, ditahan polis di kediamannya di Taman Sri Kluang, Kluang kira-kira 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, penahan itu hasil daripada maklumat orang awam yang mengecam kenderaan lelaki berusia 44 tahun itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati isteri dan anak perempuannya yang berusia 39 dan 17 tahun itu dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru.

"Ketika melalui jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Hitam, berlaku sedikit perbalahan antara pasangan terbabit. Siatan awal mendapati lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana membebel disebabkan masalah kewangan, " katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman bermula hari ini sehingga Khamis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.

Dalam kejadian jumaat lalu, tindakan lelaki memukul isterinya menggunakan kasut di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Air Hitam menjadiviral di laman sosial.

Video itu turut mencetuskan kemarahan pengguna laman sosial apabila tindakan lelaki terbabit dianggap keterlaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 1:19 PM