Rumah keluarga suspek  yang dikunci dipercayai pulang ke kampung sejurus rakaman video itu viral.
Rumah keluarga suspek yang dikunci dipercayai pulang ke kampung sejurus rakaman video itu viral.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Kluang: “Jangan hukum dia sekiranya tidak mengetahui perkara sebenar,” kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Azman, 35, berhubung cemuhan orang ramai terhadap tindakan jirannya memukul isteri di jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Hitam, Batu Pahat, Jumaat lalu.

Menurutnya, kebanyakan jiran lelaki terbabit secara umumnya mengetahui berhubung penyakit dihidapinya dan sudah biasa dengan sifatnya yang kadangkala bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, ada ketika jirannya itu agak peramah dan adakalanya dilanda kemurungan akibat masalah dihadapinya yang tidak diketahui orang lain melainkan keluarganya.

“Kami di sini memang sedia maklum dia sakit dan isterinya yang menjaganya sejak beberapa tahun lalu. Ada ketika dia sihat, tetapi jika tidak sihat, isterinya yang menjaganya di rumah,” katanya.

Menurut Azman, kali terakhir dia berjumpa suami isteri terbabit pada Sabtu lalu selepas rakaman video membabitkan pasangan itu tersebar di media sosial.

Namun, menurutnya, jirannya itu kelihatan seperti biasa dan tidak berkelakuan pelik mahupun bergaduh ketika di rumah selepas video itu tersebar.

“Sepanjang tiga tahun tinggal berjiran, sekali pun saya tidak pernah mendengar mereka bergaduh. Namun, saya tahu adakalanya isterinya terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada suami jika datang ‘angin’ dia,” katanya.

Menurutnya, dia berharap orang ramai tidak memberi tohmahan negatif kepada keluarga terbabit hingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan tertekan.

“Sehingga hari ini, isteri dan tiga anaknya tidak balik ke rumah dan mungkin pulang ke kampung mereka di Kemaman, Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:38 AM