NORASAB
NORASAB
SOPHIE
SOPHIE
Agensi

London: Seorang wanita mengaku menikam teman lelakinya sehingga mati akibat tertekan kerana sering didera dan dihina sebagai pelacur.

Sophie Butler, 20, memberitahu mahkamah di sini, dia membunuh teman lelakinya, Norasab Hussain, 33, kerana tidak tahan akibat sering didera lelaki itu.

Norasab ditemui mati di sebuah apartmen pada 30 Mei tahun lalu dengan kesan cedera parah di dada.

Sophie berkata, Norasab sering mendera dan menghinanya dengan beberapa panggilan termasuk pelacur.

Katanya, Norasab pernah meninggalkan satu mesej kepada ibunya dengan mengatakan dia patut membuka sebuah rumah pelacuran.

Pada hari kejadian Norasab dilaporkan terus mendera Sophie dan menghina wanita itu dengan kata-kata kesat.

Kerana tidak tahan dengan penderaan itu, Sophie bertindak mengambil sebilah pisau dan terus menikam dada Norasab hingga mati.

Pendakwa raya, John Lloyd-Jones berkata, Sophie mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa sedar kerana mengalami trauma akibat sering didera kekasihnya.

“Dua pakar sakit jiwa mengesahkan Sophie mengalami keadaan yang dikenali sebagai sindrom wanita teraniaya.

“Sindrom itu mengakibatkan wanita yang menjadi mangsa penderaan kekasih atau suami mengalami masalah mental yang menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

“Keadaan ini berpunca akibat mangsa terlalu tertekan dan trauma dengan tindakan pasangan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Norasab sering memukul dan mendera bekas kekasihnya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:39 AM