SPURS  gagal peroleh penalti selepas Kane (tengah) dijatuhkan Ledley (kiri).
SPURS gagal peroleh penalti selepas Kane (tengah) dijatuhkan Ledley (kiri).
AFP

London: Pertahanan Tottenham Jan Vertonghen menganggap pertemuan ulangan pusingan ketiga Piala FA menentang Burnley awal pagi esok memberi peluang untuk mereka menebus kesilapan yang berlaku di Crystal Palace Ahad lalu.

Anak buah Mauricio Pochettino itu memulakan aksi 2015 dengan penuh bergaya apabila mengalahkan Chelsea 5-3 di White Hart Lane.

Tetapi, Tottenham tidak berjaya mencari kemenangan sejak seri 1-1 dengan Burnley di Piala FA dan keputusan itu disusuli kekalahan 2-1 di tangan Crystal Palace Sabtu lalu.

Kelab utara London itu dilihat tidak sukar untuk mengumpul tiga mata selepas jaringan Harry Kane, tetapi mereka kehilangan rentak hingga membolehkan Palace menang hasil jaringan Dwight Gayle dan Jason Puncheon.

Pada perlawanan itu, Tottenham kecewa apabila rayuan mereka untuk mendapatkan penalti selepas Kane dijatuhkan Joe Ledley, tidak diendahkan pengadil Anthony Taylor.

Kekalahan itu merosakkan impian Tottenham untuk layak ke Liga Juara-Juara dan kini mereka sekadar berada di tangga keenam.

Begitupun, pemain antarabangsa Belgium, Vertonghen berharap kunjungan Burnley ke White Hart Lane akan memberikan peluang untuk mereka bangkit sekali gus menempah tiket ke pusingan keempat Piala FA.

Ditanya sama ada kemenangan ke atas Chelsea gagal melonjakkan semangat pasukannya, dia berkata: “Ya. Tidak ada gunanya kami menang ke atas Chelsea dan kemudian tewas di tangan Palace.

“Saya rasa kami tidak bernasib baik walaupun kami sebenarnya pasukan yang lebih hebat.

“Lawan yang mula melakukan kesilapan, tetapi selepas itu, kami kucar-kacir. Kami bodoh kerana kehilangan mata pada perlawanan itu. Sekali lagi kami gagal untuk melonjak ke tangga keempat liga.

“Kami perlu menamatkan musim ini pada kedudukan sekurang-kurangnya keempat dan masih bersaing dalam tiga kejohanan domestik. Mungkin kami akan berjaya berada di tangga keempat sambil memenangi salah satu piala.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:22 AM