Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers akan mengekalkan corak permainan sedia ada apabila anak buahnya bertandang ke Leicester untuk mengharungi aksi Liga Perdana Inggeris esok.

Skuad Reds hampir muncul juara tahun lalu apabila mengamalkan corak permainan menyerang sekali gus menyaksikan mereka meledak 101 gol dan hanya menamatkan saingan dengan ketinggalan dua mata berbanding juara, Manchester City.

Bagaimanapun, selepas penjualan Luis Suarez ke Barcelona manakala Daniel Sturridge dilanda kecederaan, Liverpool dilihat gagal mengulangi corak serupa kali ini.

Selepas mengalami tiga kekalahan liga berturut-turut, Rodgers memperkenalkan gaya lebih berdisiplin dan bertahan ketika menentang Stoke City hujung minggu lalu dan hasilnya, mereka menang 1-0.

Dan menjelang pertemuan menentang Leicester, Rodgers berkata, beliau merancang untuk mengekalkan corak permainan sebegitu setidak-tidaknya buat sementara waktu.

“Kami membuat banyak perubahan, kami mempunyai ramai pemain baru dan kami menyesuaikan diri dengan banyak perkara,” kata Rodgers.

“Anda perlu bertindak mengikut apa yang anda ada. Permainan tersusun akan hadir selepas anda mencipta keyakinan di dalam pasukan.

“Selepas kemenangan ke atas Stoke, kami dapat merasakan sesuatu yang positif. Anda perlu bermain dengan yakin sebelum boleh memenangi perlawanan,” katanya.

“Tuntutan paling minimum ialah perlu mampu bersaing dan atas beberapa sebab, kami kehilangan faktor berkenaan. Tetapi kini kami sudah mempunyai pemain yang faham bagaimana untuk beraksi sebagai satu pasukan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:01 AM