London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers percaya dedikasi serta profesionalisme dipamerkan Steven Gerrard mampu menjadi tanda aras kepada semua pemain Reds selepas ini.

Kemunculan ke-709 pemain tengah itu bersama Liverpool Sabtu lalu yang terakhir baginya di Anfield, padang bintang yang menyarung jersi nombor 8 itu mencipta nama.

Untuk menjadi seorang pemain seperti Gerrard, setiap individu perlu bekerja keras dan selaku kapten, keperibadiannya selaku kapten boleh dijadikan contoh terbaik buat pemain lain.

“Dia mencipta contoh yang indah,” kata Rodgers kepada Liverpoolfc.com. “Tahapnya tinggi setiap hari dan itulah yang dilakukannya iaitu memperbaiki ketokohannya.

“Dia tidak pernah malas. Apabila pemain muda melihat contoh yang ditetapkan pemain senior sepertinya, mereka pasti menanam azam untuk menjadi sepertinya.”

Crystal Palace adalah pasukan pelawat di Anfield, Sabtu lalu, namun mereka tidak terbawa-bawa dengan emosi Gerrard sebaliknya garang mencipta kemenangan 3-1 walaupun tuan rumah mendahului hasil jaringan Adam Lallana.

Kekalahan itu bagaimanapun tenggelam seketika apabila peminat memilih untuk menyambut aksi terakhir Gerrard sejurus habis perlawanan.

Rodgers berkata: “Sepanjang saya di sini, dia menunjukkan keperibadian unggul. Saya seolah-olah diberikan penghormatan untuk bekerja dengannya.

“Saya yakin penyokong kami hebat dan mereka memberikan sokongan kepadanya walaupun selepas ini Steve tidak akan berada di Anfield. Memang sedikit kecewa kerana kami tidak menang perlawanan terakhirnya.

“Bagi saya, dari segi sejarah kelab, dia sudah melakar sesuatu yang sangat hebat. Saya pasti merinduinya kerana hubungan kami sangat erat.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 8:20 AM