MANGSA banjir di Dewan SK Sejijak dibawa menaiki trak JPAM selepas dibenarkan pulang. FOTO ihsan JPAM
MANGSA banjir di Dewan SK Sejijak dibawa menaiki trak JPAM selepas dibenarkan pulang. FOTO ihsan JPAM
Abd Rahman Adam


Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan penurunan daripada 1,748 mangsa pagi tadi kepada 74 mangsa setakat 6 petang tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 23 keluarga itu kini ditempatkan di dua pusat pemindahan di daerah Serian iaitu Dewan Kampung Kanawit Betong dan Surau Hadhari.

Empat pusat pemindahan di Kuching iaitu Dewan Batu Kitang Jaya, Dewan Masyarakat Kampung Pulo Ulu, Dewan Tupong Jaya dan Dewan Semerbak Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa, selain Sekolah Kebangsaan Tanah Merah serta Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru di Serian ditutup secara berperingkat sejak tengah hari tadi.

Jurucakap Sakretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keadaan cuaca baik selain paras air sungai normal ketika ini menyebabkan hampir semua kawasan banjir kembali pulih.

Malah katanya, dua pusat pemindahan yang masih beroperasi di Serian ketika ini, dijangka akan ditutup esok, namun semuanya bergantung kepada penilaian dibuat pasukan penyelamat bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:40 PM