FERRIS DANIAL (kiri) diasak pemain Sarawak Dzulazkan Ibrahim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
FERRIS DANIAL (kiri) diasak pemain Sarawak Dzulazkan Ibrahim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas gagal mencalar ego Sarawak pada suku akhir pertama Piala FA malam kelmarin, Terengganu tidak ada pilihan kecuali perlu bekerja lebih keras pada perlawanan timbal balik, 21 April ini di Stadium Negeri, Kuching dalam misi melangkah ke separuh akhir.

Hal itu diakui ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui sedikit kecewa dengan aksi pemainnya yang menyaksikan anak buahnya gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang.

“Pada babak pertama saya berpuas hati dengan corak yang dipamerkan pemain, namun tidak pada babak kedua, saya kurang berpuas hati dengan persembahan mereka yang banyak membazirkan peluang untuk menambah jaringan.

“Sepatutnya peluang sebegini harus dimanfaatkan sebaik mungkin apatah lagi beraksi di laman sendiri, namun inilah keputusan pada malam ini (kelmarin) yang kami terpaksa akur biarpun banyak peluang terlepas,” kata ketua jurulatih yang meraikan hari jadi ke-66, kelmarin.

Pada aksi malam kelmarin, skuad Peteh Terengganu Peteh gagal mengutip kelebihan selesa apabila sekadar seri 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan yang disaksikan lebih 8,000 peminat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Peteh terlebih dulu di depan hasil tandukan cantik penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone pada minit ke-20 hasil hantaran silang Ferris Danial Nasir sebelum pemain skuad Bujang Senang, Lee Jong Ho menyamakan kedudukan pada mini ke-52 berikutan kealpaan benteng tuan rumah.

Mengulas lanjut Irfan berkata, walaupun gagal mencatat bekalan selesa di laman sendiri kerana pemain hilang fokus, beliau mengakui masih ada 90 minit lagi di Stadium Negeri untuk membuat perhitungan ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:03 AM