MAYAT lelaki yang ditemui terapung dibaluti dengan jaring sangkar ikan di Perairan Kuala Selinsing, Rabu lalu. FOTO Shaiful Shahril Ahmad Pauzi
MAYAT lelaki yang ditemui terapung dibaluti dengan jaring sangkar ikan di Perairan Kuala Selinsing, Rabu lalu. FOTO Shaiful Shahril Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Bedah siasat mayat lelaki ditemui terapung di perairan Kuala Selinsing dalam keadaan dibalut dengan jaring ikan serta diikat dengan guni baja di sini, Rabu lalu menemui kesan tusukan benda tajam di kepala mangsa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Dr Siti Zanariah Md Naziri, menemui kesan tusukan di kepala lelaki berkenaan.

"Bedah siasat dilakukan 9.30 pagi semalam dan menemui kesan tusukan itu serta mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat dibunuh.

"Setakat ini identiti mangsa yang berketinggian 155 sentimeter dan mempunyai berat anggaran 65 kilogram itu masih belum diperoleh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, sehingga hari ini masih tiada saksi atau waris tampil membuat laporan kes terbabit.

"Justeru pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kes terbabit agar tampil berkerjasama dengan pihak polis.

"Dalam masa yang sama pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh kes terbabit bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mayat lelaki tanpa identiti yang dipercayai dibunuh ditemui di perairan Kuala Selinsing.

Dalam kejadian 3 petang itu, mayat berkenaan ditemui dibaluti dengan jaring ikan dan diikat dengan dia guni baja dipercayai sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat.

Berita berkaitan:

Kejam sungguh!: http://hmtro.com/1otAIL8

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:12 AM