Mangsa banjir di Johor meningkat secara mendadak.
Mangsa banjir di Johor meningkat secara mendadak.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir Johor meningkat lagi kepada 1,484 orang daripada 385 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.

Ia berbanding hanya 1,024 orang daripada 252 keluarga di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 13 PPS, 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kota Tinggi kini menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Jumlah mangsa Kota Tinggi terus meningkat kepada 723 mangsa banjir daripada 180 keluarga kini yang ditempatkan di enam PPS di daerah itu.

"Mangsa banjir di Johor Bahru turut merekodkan pertambahan kepada 420 penduduk daripada 111 keluarga di empat PPS.

"Mersing turut merekodkan peningkatan mangsa kepada 271 orang daripada 71 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

"Manakala di Kluang, mangsa juga turut meningkat kepada 70 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPK Kahang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

MetMalaysia hari ini mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

Ia juga memaklumkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 9:47 AM