Abd Rahman Adam


Kuching: "Saya dan suami bekerja, manakala seorang anak lelaki saya berada di rumah neneknya menyebabkan kami tidak tahu rumah dimasuki air sekali gus mengakibatkan hampir semua barang elektrik rosak," kata Nora Ismail, 42.

Nora antara 464 mangsa membabitkan 100 keluarga dari Taman Malihah, Matang, di sini, yang masih berada di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Taman Malihah, apabila kediaman mereka dinaiki air sehingga satu meter susulan hujan lebat sejak pagi semalam.

Seramai 1,155 mangsa daripada 239 keluarga terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan terbabit sehingga jam 9.30 malam tadi, namun ada mangsa sudah mula pulang ke rumah masing-masing pagi tadi selepas keadaan beransur pulih.

Menurutnya yang menetap di Lorong 13, Taman Malihah, di sini, banjir menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barang berharga.

"Saya hanya mengetahui rumah dimasuki air sebaik dimaklumkan oleh jiran yang pergi ke tempat kerja sebelum mendapatkan kebenaran daripada majikan untuk pulang ke rumah.

"Sebaik tiba, saya tidak dibenarkan masuk ke rumah berikutan paras air naik sehingga paras lebih satu meter. Banyak barang berharga termasuk televisyen dan mesin basuh ditenggelami air," katanya ditemui di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Taman Malihah, di sini.

Katanya, ini kali pertama, mereka berhadapan banjir terburuk sepanjang enam tahun tinggal di taman perumahan berkenaan meskipun sebelum ini, kawasan terbabit sering dilanda banjir.

"Sejak semalaman saya belum lagi mandi dan tidak sempat pulang berikutan hujan masih turun. Namun ada juga penduduk yang pulang menjenguk kediaman masing-masing," katanya.

Justeru, Nora berharap supaya pihak kerajaan dapat membantu menghulurkan bantuan berikutan banyak kerugian terpaksa ditanggung semua mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Berkongsi perasaan sama, Rozita Mozahan, 46, berkata, mulanya, air hanya naik di atas jalan, namun kurang setengah jam selepas itu paras air naik secara mendadak dan mula memasuki kediaman penduduk.

Menambahkan kebimbangan katanya, apabila terpaksa menguruskan dua adik serta seorang anak lelaki yang kurang upaya (OKU) sebelum bergegas meminta bantuan pasukan penyelamat.

"Mujur ada dua anak perempuan yang membantu menyelamatkan barang berharga. Namun banyak perabot, tilam dan pakaian semuanya basah akibat banjir.

"Banjir kali ini adalah yang terburuk selepas lapan tahun insiden sama menimpa penduduk di taman perumahan ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Datuk Misnu Taha berkata, pengurusan Baraj atau Pintu Air di Kuching dan Batu Kitang akan dilepaskan ke laut berikutan hujan tanpa henti sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir.

Katanya, setakat ini, operasi itu berjalan lancar dan masih mampu menampung jumlah air hujan ketika ini.

"Operasi bagaimanapun, mungkin akan dihentikan pada sebelah petang berikutan ramalan air pasang besar,"katanya.

Katanya, setakat ini, bantuan makanan dan khidmat kesihatan juga sudah diberikan kepada mangsa yang berpindah di Dewan Serbaguna Taman Malihah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 2:02 PM