Penduduk melalui Jalan Mawai yang masih digenangi air banjir. FOTO OMAR AHMAD
Penduduk melalui Jalan Mawai yang masih digenangi air banjir. FOTO OMAR AHMAD
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir Johor terus merekodkan peningkatan kepada 1,510 orang daripada 394 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 2 petang ini.

Ia berbanding hanya 1,484 orang daripada 385 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 13 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kini menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Jumlah mangsa Kota Tinggi terus meningkat kepada 731 mangsa banjir daripada 187 keluarga kini yang ditempatkan di tujuh PPS di daerah itu.

"Mangsa banjir di Johor Bahru turut merekodkan pertambahan kepada 423 penduduk daripada 111 keluarga di empat PPS.

"Mersing pula merekodkan penurunan mangsa kepada 265 orang daripada 70 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

"Manakala Kluang pula meningkat kepada 77 mangsa daripada 26 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPK Kahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

MetMalaysia hari ini mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

Dalam kenyataan agensi itu memaklumkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 3:20 PM