Jefri Jabas meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Jefri Jabas meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Lelaki berusia 29 tahun maut apabila motosikal ditunggang melanggar belakang lori yang berhenti di Kilometer 280 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Jefri Jabas Maryuli yang berasal dari Batu Muda, Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan ke Seremban.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Masdar Suminggu berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.44 petang dan dua jentera bersama 16 anggota segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave melanggar belakang lori yang berhenti di tepi lebuh raya kerana salah satu tayar pancit.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terperosak di bawah lori dan mengalami kecederaan parah di kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat dan kes diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:00 PM