MAYAT Rahimah dibawa naik ke tebing parit.
MAYAT Rahimah dibawa naik ke tebing parit.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya menggeletar apabila melihat separuh tubuh mangsa ditindih motosikal dalam parit berair lalu meminta bantuan orang ramai mengangkatnya ke tebing kerana masih bernyawa, namun beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafas terakhirnya.”

Begitu kata saksi kejadian mahu dikenali sebagai Nor, 40-an, apabila cuba memberi bantuan awal selepas tiga beranak yang menaiki sebuah motosikal Honda Wave dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora akibat hilang kawalan selepas tayar depan bahagian kanan tiba-tiba pancit.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi di Jalan Tikam Batu berdekatan Kampung Permatang Merbau, di sini, ketika ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Kampung Berapit, Tikam Batu menuju ke Kampung Sungai Yu, Kota Kuala Muda.

Akibat rempuhan itu, mangsa Rahimah Haron, 26, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya Mohd Nabil Romli, 26, dan anak mereka, Nabihah, 20 bulan, cedera lalu dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kenderaan dipandu seorang wanita berusia 30-an sambil ditemani anaknya berusia empat tahun dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bersebelahan selepas tayarnya pancit.

Kenderaan itu kemudian merempuh motosikal dinaiki tiga beranak itu menyebabkan mangsa melambung ke dalam parit, manakala suami serta anaknya tercampak ke tepi jalan sebelum terjunam ke dalam parit sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:13 AM