GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


SEORANG lelaki maut akibat digilis sebuah lori ketika dia cuba mengelak kenderaan yang mengalami tayar pancit dalam kemalangan di Kilometer 147.5 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 7.20 pagi itu, mangsa, Nur Firdaus Wong Abdullah,47 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Bukit Tengah menuju bahagian Pulau.

"Ketika tiba di lokasi, mangsa cuba mengelak sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana tayar pancit.

"Bagaimanapun, datang pula sebuah lori lain menyebabkan berlaku pergeselan dan menggilis mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pemandu lori terbabit didapati melarikan diri dan kini usaha mengesannya sedang dijalankan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:52 PM