Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menganggap tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kedah mendesak Datuk Seri Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar sebagai amat mendukacitakan.

Menurutnya, episod politik berlaku di Kedah juga amat membimbangkan apatah lagi Mukhriz seorang pemimpin UMNO berkaliber dan disenangi ahli parti dan rakyat.

Katanya, antara faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis UMNO dan beliau perlu diberi peluang membuktikan kepimpinannya.

Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjanjikannya jawatan Menteri Besar Kedah jika memenangi negeri itu.

"Sebagai Menteri Besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat, beliau tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil rakyat dan pemimpin UMNO Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan.

"Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah. Apatah lagi beliau adalah seorang Menteri Besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinannya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak tertentu dan bukannya atas kepentingan rakyat negeri itu, ia adalah sesuatu yang amat malang dan merugikan UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 2:15 PM