Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani plak perasmian Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Seri Manjung sambil diperhatikan Zambry (kanan) dan Leo (dua, kanan). FOTO Muhaizan Yahya
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani plak perasmian Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Seri Manjung sambil diperhatikan Zambry (kanan) dan Leo (dua, kanan). FOTO Muhaizan Yahya
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Manjung: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli merasmikan unit keempat loji arang batu di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, di sini, yang dinamakan Manjung 4, pagi tadi.

Manjung 4 berkapasiti 1,000 MegaWatt (MW) adalah unit keempat untuk penjanaan tenaga elektrik di stesen berkenaan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas tiga unit sebelum ini iaitu Manjung 1,2 dan 3, dirasmikan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di lokasi sama pada 30 April 2007.

Turut berangkat hadir, Raja Permaisuri Perak Tunku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd.

Ongkili dalam ucapannya berkata, unit berkapasiti 1000MW itu dapat memenuhi dua daripada tiga objektif utama Dasar Tenaga Negara iaitu daripada aspek bekalan, penggunaan dan alam sekitar.

"Penggunaan teknologi 'Ultra Super-Critical' memastikan bekalan elektrik dijana dengan selamat dan mesra alam sekitar sekaligus menjadikan Manjung 4 sebagai sebuah stesen janakuasa arang batu paling efisien di Asia Tenggara pada masa ini.

"Manjung 4 juga menyumbang kepada kestabilan Sistem Gred Nasional dan meningkatkan keupayaan penjanaan di stesen itu kepada 3,100 MW sekaligus meletakkannya sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 12:34 PM