Mukhriz Mahathir melayan penyokongnya ketika tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar, petang tadi. - Foto AMRAN HAMID
Mukhriz Mahathir melayan penyokongnya ketika tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar, petang tadi. - Foto AMRAN HAMID
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan beliau diberitahu mengenai pihak istana tersinggung dengan tindakan 12 Ketua UMNO Bahagian yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadapnya.

Mukhriz yang ditanya mengenai situasi pihak istana tersinggung itu ketika ditemui di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, kira-kira jam 8 malam tadi, berkata: “Saya tidak boleh cakap bagi pihak istana. Saya cuma dimaklumkan mengenainya.

"Saya juga tidak tahu sama ada esok akan dibuat pengumuman Menteri Besar baharu selepas pertemuan itu kerana seperti sebelum ini terlalu banyak dakwaan dibuat," katanya.

Beliau mengesahkan tidak akan hadir dalam pertemuan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Bangunan Wisma Darulaman di sini, esok.

Mukhriz berkata, pertemuan itu hanya membabitkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah dengan ADUN Barisan Nasional (BN) yang mungkin membabitkan beberapa persoalan bagi memastikan kebenaran pendirian mereka seperti dilaporkan dalam sidang media yang diadakan pada 20 Januari lalu.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui intipati pertemuan berkenaan namun mengesahkan kemungkinan ada beberapa soalan berkaitan isu semasa yang akan ditanya Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

"Saya ingat (rasa) tidak akan hadir kerana kalau hadir ia untuk perjumpaan secara perseorangan dan saya mungkin akan hadir ke pejabat di mana temubual (bersama Jemaah Pemangku Sultan Kedah) itu dijalankan," katanya.

Difahamkan 20 ADUN BN dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman kira-kira jam 2 petang esok.

Perjumpaan itu berikutan kemelut pertukaran Menteri Besar selepas kumpulan 12 Ketua dan dua Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kedah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dalam sidang media 20 Januari lalu.

Terdahulu, Mukhriz yang baru tiba dari Kuala Lumpur bersama isterinya Tok Puan Sri Norzieta Zakaria disambut lebih 50 penyokong dan rakyat Kedah termasuk Kelab Penyokong ADUN Ayer Hitam (KEPAAH) sambil melaungkan slogan 'Hidup Mukhriz'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 9:35 PM