Mukhriz (kanan) ketika hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Kedah menentang Sungai Ara FC di Stadium Darulaman, malam tadi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mukhriz (kanan) ketika hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Kedah menentang Sungai Ara FC di Stadium Darulaman, malam tadi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan dakwaan beliau disuruh Jemaah Pemangku Sultan Kedah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dengan menandatangani surat dan enggan melakukannya sebanyak dua kali.

Mukhriz berkata, dakwaan dalam laporan media dan blog itu adalah satu pembohongan semata-mata.

"Dakwaan dalam media perdana dan blog bahawa saya disuruh oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk meletak jawatan dengan menandatangani surat tapi kononnya saya enggan melakukannya sebanyak dua kali adalah satu pembohongan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kemelut membabitkan pertukaran Menteri Besar Kedah berlaku apabila 14 Ketua UMNO Bahagian Kedah sebelum ini menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Semalam, seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional termasuk Mukhriz dipanggil mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman untuk menyatakan pendirian mereka.

Hari ini 15 ADUN pembangkang turut dipanggil mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah dipercayai berhubung kemelut sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 2:02 PM