NAJIB (dua kiri) melihat Jambatan Batang Sadong selepas melawat SK Kampung Sungai Ladong, Sebuyau,Simunjan. FOTO Che Rani Che Din
NAJIB (dua kiri) melihat Jambatan Batang Sadong selepas melawat SK Kampung Sungai Ladong, Sebuyau,Simunjan. FOTO Che Rani Che Din
Shamran Sarahan


Bintulu: Perdana Menteri bersetuju untuk melaksanakan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar di sungai Batang Lupar, Sri Aman yang dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia itu juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat dan negeri akan berkerjasama dalam pembinaan jambatan itu dan peruntukan bagi menanggung kos pembinaan akan dibahagikan sama rata.

"Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo untuk memastikan jaringan perhubungan di negeri ini dibina dengan lebih sempurna dan ia diyakini berupaya membangunkan sektor ekonomi di kawasan luar bandar.

"Pembinaan jambatan ini pula adalah usaha susulan kerajaan untuk menambah baik lagi jaringan perhubungan di negeri ini, terutama bagi membangunkan kawasan pesisir pantai di seluruh Sarawak," katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Sementara itu, di Sadong Jaya pagi tadi, Perdana Menteri turut mengumumkan akan melaksanakan program baik pulih sekolah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) membabitkan 107 sekolah yang sudah usang dan rosak di seluruh Sarawak secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 1:40 PM