Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah taat setia pada Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas di bangunan Dewan Undangan Negeri Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah taat setia pada Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas di bangunan Dewan Undangan Negeri Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini selepas dua daripada mereka positif Covid-19 manakala seorang lagi menjadi kontak rapat.

Mereka yang disahkan dijangkiti Covid-19 ialah Adun Kuala Rajang yang juga Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh dan Adun Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Manakala Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Adun Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pula dikuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada kes positif.

Berikutan itu, hanya 79 daripada 82 Adun yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember lalu mengangkat sumpah, hari ini.

Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Speaker Dun Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Ketua Menteri yang juga Adun Gedong, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mendahului upacara itu disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Adun Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Adun Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Adun Batu Kawa, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Upacara itu kemudian diteruskan dengan angkat sumpah Timbalan Speaker Dun Sarawak yang juga Adun Muara Tuang, Datuk Idris Buang disusuli semua Adun termasuk 16 muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta enam wakil pembangkang iaitu empat Adun Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua Adun DAP.

Majlis angkat sumpah kesemua Adun itu menjadi pembuka Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini.

Tiada upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada persidangan kali ini.

Bagaimanapun, upacara itu akan diadakan pada satu tarikh lain yang akan ditentukan oleh kerajaan Sarawak.

Lima Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan pada persidangan kali ini iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022 yang akan dibentangkan oleh Uggah.

Turut dibentangkan ialah RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 pula akan dibentangkan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dua lagi RUU akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom iaitu RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipahv2022 dan RUU Lembaga Industri Getah Sarawak, 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 2:59 PM