ABANG Johari berucap pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Betong. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
ABANG Johari berucap pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Betong. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM8 bilion hasil jualan produk petroleum sejak cukai berkenaan diperkenalkan pada 2019 hingga kini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, hasil SST itu dijangka meningkat tahun ini susulan peningkatan harga minyak mentah global.

Menurutnya, beberapa tahun lalu Sarawak berjuang untuk menuntut cukai produk petroleum itu daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sehingga membawanya ke mahkamah.

"Penyelesaiannya ditentukan oleh mahkamah yang memutuskan Sarawak ada hak mengenakan SST terhadap produk petroleum.

"Hingga kini kita sudah berjaya mengutip sebanyak RM8 bilion hasil SST itu dan pendapatan tambahan itu akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan bantuan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri yang diadakan di Betong, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, walaupun Sarawak dan Petronas pernah berhadapan di mahkamah berhubung isu SST itu, sekarang hubungan kedua-dua pihak terjalin dengan cukup baik khususnya untuk memajukan industri minyak dan gas di Sarawak, pada peringkat hiliran dan juga huluan kerana itulah aspirasi rakyat Sarawak.

"Kerjasama ini dimeterai di bawah Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau Commercial Settlement Agreement yang ditandatangani kedua belah pihak pada Disember 2020.

"Antara lain, Petronas memberi komitmen untuk menyalurkan lebih banyak gas bagi tujuan membangunkan hub petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu dengan pembinaan loji penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong.

"Saya yakin melalui kerjasama ini dan kerjasama dengan pihak-pihak lain, Sarawak akan mempunyai hub petrokimianya sendiri yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, khususnya kalangan belia," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, sebagai sebahagian daripada wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia, rakyat Sarawak harus akur bahawa ada kuasa yang berada pada Kerajaan Persekutuan dan ada kuasa serta hak di bawah kerajaan Sarawak dan ada juga kuasa dikongsi bersama.

"Namun, apa yang pasti harus ada bentuk kerjasama dan kolaborasi antara pihak Persekutuan dan pihak negeri supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Tanpa kerjasama yang erat antara negeri dan Persekutuan, rakyat akan menjadi mangsa dan menanggung kerugian seperti yang berlaku dalam tempoh 22 bulan ketika di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 2:07 PM