CHADLI (kiri) jaring dua gol buat Spurs.
CHADLI (kiri) jaring dua gol buat Spurs.

London: Tottenham Hotspur mudah melepasi cabaran pasukan bawahan Colchester United pada aksi pusingan keempat Piala FA malam tadi menerusi kemenangan 4-1 yang turut disumbang jaringan berganda Nacer Chadli.

Colchester, pasukan tercorot divisyen ketiga Liga Satu, berharap dapat mengulangi kejutan ketika berada di divisyen keempat dengan menewaskan Leeds United pada 1971.

Namun selepas dua pertahanan mereka Alex Wynter and Tom Eastman berlaga pada awal permainan dan terpaksa digantikan, pasukan bukan pilihan itu dengan mudah diketepikan Spurs pada separuh masa pertama apabila jaringan Chadli meletakkan mereka di depan pada minit ke-27.

Pasukan tuan rumah terus bertahan sehinggalah Eric Dier meledak jaringan hebat pada minit ke-64.

Chadli menanduk masuk hantaran Kieran Trippier pada minit ke-79 sebelum Colchester meraih gol sagu hati apabila percubaan Gavin Massey singgah di palang sebelum bola terkena tulang kering pertahanan Spurs Ben Davies ke gawang sendiri.

Chadli menamatkan aksi cemerlangnya menerusi hantaran cantik yang membolehkan Tom Carroll mengesahkan kemenangan mereka tujuh minit sebelum tamat perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:09 AM