London: Aston Villa dan Tottenham Hotspur didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas gagal ‘memastikan pemain berkelakuan baik’ ketika pertemuan di Villa Park, Ahad lalu.

Pengadil Neil Swarbrick membuang padang penyerang Christian Benteke selepas pergaduhan pada minit ke-68 berdekatan tepi padang membabitkan beberapa pemain pasukan itu.

Tottenham memenangi perlawanan Liga Perdana itu 2-1 selepas jaringan Nacer Chadli dan Harry Kane dalam tempoh 10 minit terakhir membantu kemenangan mereka ke atas tuan rumah.

Benteke bertembung dengan pemain tengah Spurs, Erik Lamela dan Ryan Mason sebelum menolak muka Mason sekali gus mencetus pergaduhan antara kedua-dua pasukan.

“Kedua-dua Aston Villa dan Tottenham Hotspur didakwa oleh FA berikutan perlawanan pada Ahad 2 November 2014.

“Difahamkan sekitar minit ke-66 perlawanan itu, kelab itu gagal memastikan pemain mereka berkelakuan baik.

“Kedua-dua kelab diberi masa hingga 6 petang 10 November ini untuk memberi jawapan terhadap dakwaan itu.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:05 AM