LIVERPOOL akan menanti kunjungan Arsenal.
LIVERPOOL akan menanti kunjungan Arsenal.
AFP

LIVERPOOL akan menanti kunjungan Arsenal dan Chelsea berdepan Manchester United dalam dua aksi hebat di pusingan keempat Piala Liga.

Undian untuk kelompok 16 terakhir awal pagi tadi mengetengahkan dua perlawanan hebat apabila pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris kendalian Juergen Klopp berdepan Gunners di Anfield dan United yang kini terumbang-ambing menuju ke Stamford Bridge.

Liverpool yang menjuarai kejohanan itu sebanyak lapan kali, menewaskan Milton Keynes Dons 2-0 untuk mara ke pusingan keempat manakala Arsenal membelasah Nottingham Forest 5-0.

United, yang kali terakhir menjuarai Piala Liga pada 2017 memerlukan kemenangan penentuan penalti 5-3 ke atas pasukan divisyen ketiga Rochdale untuk mara selepas terikat 1-1 di Old Trafford.

Berbanding United yang bersusah payah untuk mara, naib juara musim lalu Chelsea membelasah Grimsby 7-1.

Southampton meraih ganjaran untuk kemenangan pertama ke atas Portsmouth dalam tempoh 35 tahun dengan kunjungan bertemu juara bertahan Manchester City.

Selain itu terdapat juga aksi pertembungan pasukan Liga Perdana membabitkan Everton dan Watford dan Aston Villa menentang Wolves.

Dua pasukan di ranking terendah yang masih ada dalam kejohanan itu, iaitu pasukan divisyen keempat Crawley dan Colchester, diundi bertemu satu sama lain.

Leicester akan berkunjung ke Burton, manakala Oxford akan menanti kunjungan Sunderland dalam aksi membabitkan dua pasukan League One.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:53 AM