Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Saya nak tahu apa yang mereka buat hingga menjadi maju serta hebat,” kata pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh (gambar tengah) yang mahu ‘mengorek’ rahsia kehebatan pasukan bola sepak Jepun apabila berada di negara itu pada 6 hingga 14 Mei.

Menurut Dollah, sebelum ini ramai pihak lebih cenderung kepada pasukan di Eropah namun kali ini beliau mahu melakukan pendekatan berbeza dengan mempelajari pendekatan digunakan Jepun yang sekian lama kekal gergasi Asia.

“Mungkin ramai pihak lebih fokus kepada pasukan di Eropah tapi saya lebih berminat dengan kemajuan ditunjukkan Jepun. Saya mahu menyaksikan bagaimana latihan, pemakanan, sesi latihan Jepun yang bukan saja membabitkan aspek pemain tapi hingga ke pihak pengurusan,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar Dollah bersama lima pegawai kejurulatihan Harimau Malaya mengikuti latihan bersama skuad kebangsaan Jepun.

Idea ini dicetuskan sendiri oleh Dollah selepas menyaksikan skuad bawah 22 tahun (B-22) Jepun beraksi pusingan kelayakan Piala AFC B-23 di Shah Alam Mac lalu.

“Saya lebih tertarik dengan Jepun ketika menonton aksi skuad bawah 22 tahun mereka baru-baru ini. Saya cukup terkejut kerana persembahan mereka cukup berbeza dengan pasukan lain dan dari situ saya begitu teruja untuk mengikuti perkembangan skuad Jepun,” katanya.

Bagi Dollah, pemergian mereka ke Jepun dianggap sebagai persiapan sebelum mengharungi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 bermula 11 Jun ini menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Palestin lima hari kemudian juga di gelanggang sendiri.

Namun atas kertas tugas getir mereka dalam saingan Kumpulan A itu akan bermula apabila berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pada September depan.

Selepas pulang dari Jepun, Dollah yang membimbing Harimau Malaya sejak Julai tahun lalu dan membawa kejayaan muncul naib juara Piala AFF pada Disember akan memanggil pemain bagi latihan pusat untuk menghadapi perlawanan persahabatan dengan Kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur pada 27 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:22 AM