RODZI (tengah) ketika sidang media di Pusat Tahanan Sementara (PTS), Sibuga, Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
RODZI (tengah) ketika sidang media di Pusat Tahanan Sementara (PTS), Sibuga, Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Seramai 447 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dihantar pulang ke negara asal mereka esok melalui Pelabuhan Sandakan ke Filipina.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Rodzi Md Saad berkata, jumlah itu termasuk 238 lelaki dewasa, 147 wanita dewasa dan 62 lagi kanak-kanak.

"Esok, kami akan menghantar pulang 447 PATI yang berasal dari Filipina.

"Mereka berusia dalam lingkungan dua hingga 65 tahun dan akan dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina," katanya dalam sidang media di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, di sini, hari ini.

Menurutnya, 6,959 PATI sedang ditahan di empat PTS seluruh Sabah ketika ini.

"Kerajaan tidak berganjak dalam usaha menjadikan negeri ini sifar PATI dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak.

"Ini bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Sabah sentiasa terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 5:37 PM