ANGGOTA PPM menunjukkan air ketum dan ubat batuk yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM menunjukkan air ketum dan ubat batuk yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Hamzah Osman


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan lelaki warga emas dan merampas air ketum dan ubat batuk bernilai RM3,000, semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Sanglang, Kuala Perlis, jam 11.30 pagi.

Katanya, serbuan sepasukan PPM dalam rondaan Op Landai itu menemui 170 liter air ketum yang diisi dalam 17 botol.

"Turut dirampas 72 botol ubat batuk dalam sebuah bilik dalam rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohizan berkata, suspek memberi kerjasama dan pemeriksaan yang dijalankan anggota PPM turut disaksikan penghuni rumah berkenaan.

“Suspek yang juga penduduk tempatan bersama barang rampasan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 9:17 AM