DADAH jenis Eramin 5 dan air ketum yang dirampas anggota PGA7 dalam serbuan di Kampung Hutan Pasir Tendong. FOTO IHSAN PGA 7
DADAH jenis Eramin 5 dan air ketum yang dirampas anggota PGA7 dalam serbuan di Kampung Hutan Pasir Tendong. FOTO IHSAN PGA 7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Empat individu ditahan anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Hutan Pasir Tendong di sini, semalam dan hasilnya, pihak berkuasa merampas dadah, ubat batuk dan air ketum bernilai lebih RM2,000.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, pada kejadian jam 9 malam, pihaknya menyerbu sebuah rumah dan mendapati empat lelaki sedang berbual di dapur.

"Suspek yang berusia 23 hingga 25 tahun itu cuba lari melalui pintu dapur namun digagalkan.

"Pemeriksaan terhadap suspek menemui 87 pil Eramin 5. Kami turut menemui 61 bungkus air ketum selain lapan botol ubat batuk.

"Keempat-empat suspek yang bersahabat sejak di bangku sekolah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Azhari berkata, hasil ujian air kencing mendapati, suspek yang berusia 25 tahun positif dadah.

"Siasatan awal mendapati, dua daripada suspek itu memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama 'Mat' sebelum ia dijual kepada penagih di sekitar kawasan Tendong di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 2:10 PM