BAHAROM (depan, dua dari kiri) dan Che Ghazali (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan Ops Sarang. FOTO Hamzah Osman.
BAHAROM (depan, dua dari kiri) dan Che Ghazali (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan Ops Sarang. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


SERAMAI 231 penagih serta pengedar dadah termasuk tujuh wanita berusia 21 tahun hingga 56 tahun ditahan pada Ops Sarang di beberapa lubuk dadah di Pulau Langkawi berakhir semalam.

Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Baharom Othman berkata, operasi siri pertama selama empat hari berakhir 26 Oktober lalu diikuti siri kedua selama dua hari yang berakhir semalam.

“Daripada jumlah tangkapan, lapan suspek adalah pengedar dadah dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kami turut merampas lebih sekilogram dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM61,000.

“Operasi disertai anggota STING Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang media di IPD Langkawi, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang dan Penolong Pengarah AADK Kedah Wan Hilmi Wan Ab Rahman.

Baharom berkata, tangkapan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 adalah paling ramai iaitu 137 diikuti 47 mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 selain Seksyen 39A(1) dan 39A(2) akta sama dengan masing-masing 16 serta 12 suspek.

“Kami turut menahan sembilan suspek mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air dan daun ketum serta dua suspek membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Kami merampas heroin seberat 159.88 gram, syabu seberat 864.28 gram, ganja seberat 4.77 gram, 25 liter air ketum, 13 kilogram daun ketum dan 1.5 liter ubat batuk,” katanya.

Menurut Baharom, hasil soal siasat ke atas beberapa suspek turut membantu pihaknya mengenal pasti enam individu yang boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Setakat ini kami sudah mendapat maklumat awal berkaitan pembabitan enam individu terbabit dengan pengedaran dadah.

“Tangkapan pada operasi bersepadu kali ini adalah yang terbesar bagi tahun ini dan ia akan dilakukan secara berterusan seiring kempen 'Jihad Perangi Dadah' yang dilancarkan IPD Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 4:28 PM