ANDREZINHO (kanan) menanduk bola ketika menentang AirAsia FC.
ANDREZINHO (kanan) menanduk bola ketika menentang AirAsia FC.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Bangi: Tumpas 3-6 dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Liga FAM, AirAsia FC semalam, langsung tidak menimbulkan kebimbangan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Fauzi Pilus (gambar).

Sebaliknya, Fauzi masih kekal positif dan yakin anak buahnya mampu bangkit untuk membentuk gandingan mantap menjelang sepak mula Liga Super musim ini bertemu Sarawak pada 13 Februari.

“Tiada masalah, cuma keputusan hari ini (semalam) tidak memihak kepada kami. Saya yakin kombinasi pemain akan bertambah baik,” katanya ketika ditemui media di Pusat Latihan Petronas semalam.

Jelasnya, punca kekalahan besar semalam adalah pemainnya terlalu memandang rendah apabila bertemu pasukan Liga FAM termasuk melepaskan beberapa gol mudah.

“Apabila bertemu pasukan Liga FAM, mereka terlalu santai. Dalam masa sama mungkin mereka sedikit kepenatan apabila terpaksa menjalani latihan setiap hari. Bagaimanapun, saya tidak bimbang kerana mereka sudah mula membina kombinasi mantap.

“Saya juga melihat kombinasi antara pemain tempatan dan import (Ali Ashfaq, Andrezinho dan Safuwan Baharudin) juga bertambah baik walaupun mereka terpaksa mengharungi perlawanan persahabatan terlalu kerap,” katanya.

PDRM akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan hujung minggu ini apabila bertemu pasukan dari Liga Perdana, Melaka United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:50 AM