YUNUS (tengah) yakin anak buah mampu lakar kejutan harungi Piala FAM.
YUNUS (tengah) yakin anak buah mampu lakar kejutan harungi Piala FAM.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pendatang baru Piala FAM, Real Mulia FC menjanjikan saingan sengit merebut kejuaraan musim ini apabila membariskan pemain berpengalaman untuk mengharungi cabaran bermula Ahad ini.

Antara pemain berpengalaman dimiliki Real Mulia FC ialah Khairan Ezuan Razali (bekas pemain Kelantan), Hazrul Shah, Muhd Badrulhisani Abdul Rahman, Syamsuri Mustafa (bekas pemain Sabah), Shahril Faizal Sharifuddin, Wan Aliff Wan Jasmi (bekas pemain T-Team) dan Amri Fasal Mohd Nor.

“Kami sedar pasukan ini mentah, namun dalam tempoh dua bulan, banyak peningkatan dilihat daripada aspek mental, moral, keyakinan, disiplin dan komitmen.

“Kami tiada pemain bintang, tapi ada yang berpengalaman luas dalam Liga-M untuk menjadi tonggak membantu pasukan,” kata ketua jurulatih Yunus Aliff.

Real Mulia FC membuka tirai Liga FAM 2015 dengan menentang Sungai Ara FC, Ahad ini dan keyakinan tinggi kem ‘The Kings’ untuk memulakan cabaran dengan langkah kanan.

Real Mulia FC tidak mengharungi pra-musim dengan baik apabila sekadar mencatat dua kemenangan dalam lapan perlawanan, namun Pengarah Teknikal RMFC Alistair Edwards berpendapat perkara itu tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar pasukan itu.

“Kami tidak pernah fokus terhadap keputusan perlawanan persahabatan kerana tumpuan kami untuk membentuk asas mantap bagi pasukan ini. Tiada guna kita fokus menang setiap perlawanan jika tiada asas yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:24 AM