MUSTAFA menunjukkan Dinar emas dan bar emas keluaran Edaran Emas Trading.
MUSTAFA menunjukkan Dinar emas dan bar emas keluaran Edaran Emas Trading.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Edaran Emas Trading Sdn Bhd (EET), syarikat pembuatan emas tempatan optimis mampu menjual kira-kira 21.25 kilogram (kg) dinar emas 916 bersamaan 5,000 keping dinar menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Mustafa Robani berkata, meskipun baru diperkenalkan kepada umum pada awal Januari lalu, namun pihaknya menerima permintaan menggalakkan dan perlu menyiapkan tempahan pelanggan yang berjumlah kira-kira 500 keping dinar emas.

“Alhamdulillah, sekarang ini permintaan sangat memberangsangkan. Tujuan dinar ini dikeluarkan untuk mendidik orang ramai membeli, menyimpan dan menabung dengan pembelian emas kerana ia menguntungkan, malah saya lihat tidak semua mampu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli emas.

“Dinar adalah wang emas yang dijadikan sebagai mata wang digunakan oleh umat Islam terdahulu dalam urusan perniagaan dan setiap pembuatannya perlu mematuhi dan memenuhi syariah iaitu berat setiap dinar pada 4.25gram (g), gred emas 916 dan mempunyai kalimah Allah.

“Malah, nilai dinar emas juga akan sentiasa mengikut zaman dengan peningkatan nilai dari semasa ke semasa berbanding nilai wang kertas yang mempunyai susut nilai tersendiri,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, syarikatnya turut memberikan khidmat nasihat selain menganjurkan program bulanan yang memuatkan pengisian berbentuk taklimat dan ceramah berkaitan emas agar dapat memberi kesedaran dan pemahaman mendalam mengenai selok-
belok dunia emas kepada masyarakat.

Pada masa sama, EET turut mengeluarkan pelbagai jenis emas termasuk barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin serta bar emas seberat satu gram.

“Dilancarkan pada Mac 2015, permintaan untuk bar emas diperbuat daripada kualiti 999.9 itu tidak pernah putus dan mampu mencapai sehingga 1,000 keping jualan dalam tempoh sebulan. Bagi tahun ini pula, kami menyasarkan mencapai dua kali ganda daripada jumlah itu dalam tempoh yang sama,” katanya.

Di EET, pelanggan boleh mendapatkan satu dinar emas (satu keping) pada harga RM720 dan harga ahli pada RM690 manakala pembelian 10 keping ke atas akan menerima harga istimewa bernilai RM670 sekeping.

Antara Januari hingga Mac ini, syarikat berkenaan berhasrat untuk mempunyai 1,000 agen dinar di seluruh negara berbanding jumlah sedia ada sebanyak 500.

Untuk mendapatkan produk keluaran EET, pelanggan boleh melayari laman sesawang www.kedaiemaseet.com.my atau laman sosial Facebook Kedai Emas EET.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 6:41 AM