ANTARA rekaan barangan kemas menarik sempena Pesta Emas yang diadakan sepanjang Jun lalu.
ANTARA rekaan barangan kemas menarik sempena Pesta Emas yang diadakan sepanjang Jun lalu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RAKYAT Malaysia kini semakin cakna mengenai kenaikan dan penurunan harga emas, di mana perkara itu sering menjadi topik di media massa serta laman sosial.

Meskipun trend harga emas meningkat, orang ramai tetap lebih yakin untuk melabur dan berlumba-lumba membeli barangan kemas.

Antara jenama yang sering menjadi pilihan dan sebutan adalah Habib yang bertapak di negara ini sejak lebih daripada 60 tahun lalu.

Jenama itu menjadi antara rujukan utama bagi peminat barangan kemas untuk mengetahui perkembangan terkini logam bernilai berkenaan.

Justeru, bagi memberi lebih pendedahan kepada pelanggan khususnya kepentingan dalam memiliki logam berharga itu, jenama terbabit melancarkan Pesta Emas yang berlangsung sepanjang Jun lalu di semua bilik pamerannya di seluruh negara.

DATUK Sri Meer
DATUK Sri Meer

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Sri Meer berkata, emas antara komoditi perdagangan dan kalis inflasi, pasti tidak rugi jika membeli logam berharga itu sama ada untuk simpanan masa hadapan ataupun dijadikan perhiasan.

"Alah membeli, menang memakai dan ungkapan ini ditujukan kepada pencinta emas yang membelanjakan wang untuk membeli emas.

"Sebagai pelaburan yang boleh digayakan, ia menjadi salah satu sebab permintaan terhadap barangan kemas emas mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada kaum hawa.

"Bukan itu sahaja, emas turut mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan lelaki di mana mereka mengumpul jongkong emas untuk dijadikan sebagai pelaburan," katanya.

Untuk makluman, emas 999 atau dikenali sebagai emas puluh mempunyai kandungan emas tulen 99.9 peratus yang membuatkan ia mudah ditempa.

Disebabkan sifat emas 999 yang lembut, ia jarang dijadikan barangan kemas kerana rekaannya mudah bertukar bentuk dan senang kemek ataupun bengkok, namun ia masih boleh didapati.

Dalam pada itu, faktor kenaikan kadar inflasi secara global turut memberi kesan kepada kenaikan harga emas.

Untuk itu, ramai memilih emas sebagai medium pelaburan yang lebih menguntungkan disebabkan sifatnya yang kalis inflasi.

Di saat kenaikan harga barangan lain, emas juga menjadi jalan keluar kepada orang ramai sama ada untuk dibeli ataupun dijual semula bagi mendapatkan wang ringgit buat belanja harian.

Sama ada jongkong emas mahupun barangan kemas, kedua-duanya mempunyai nilai tersendiri yang boleh mendatangkan keuntungan pada suatu jangka masa panjang.

Bagi peminat barangan kemas, Habib menawarkan pelbagai koleksi bermula dari 999 sehingga 375 serta jongkong emas 999 pelbagai berat bermula dari satu gram (g), lima gram, 10g, 20g, 50g, 100g sehingga satu kilogram.

Ia diiktiraf London Bullion Market Association (LBMA) iaitu satu badan yang bertanggungjawab untuk memastikan jongkong emas yang dijual adalah daripada sumber dipercayai.

Jenama itu turut menampilkan koleksi terhad syiling wafer emas 999 seberat 0.2 g dengan pelbagai motif yang unik.

Selain itu, rekaan klasik dan 'evergreen' seperti sauh lama, rantai pintal, jagung serta biji sawi dari koleksi emas 916 sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

Kelebihannya, rekaannya dibuat lebih padu, tidak mudah kemek dan dapat diwarisi turun-temurun.

Hampir keseluruhan koleksi 'evergreen' emas 916 diperbuat menggunakan emas kuning membuatkan ia menyerlah dan berseri.

Rekaan moden dari emas 916 turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kerana lebih versatil dengan menggabungkan dua warna emas kuning dan emas putih serta bersaiz lebih besar namun ringan pada berat, menjadikan ia rekaan moden digemari ramai.

Sementara itu, jika inginkan rekaan yang unik dan eksklusif, pilih koleksi Oro Italia 916 kerana ia dihasilkan di Itali dengan tangan dan mesin berteknologi tinggi.

Apa yang istimewa, potongan berlian yang ada pada permukaan koleksi itu menjadikan koleksi berkenaan kelihatan seperti dihiasi dengan butiran berlian dan menyerlahkan lagi kilauan rekaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 6:20 AM