REUS (kiri) sumbang gol pembukaan Dortmund.
REUS (kiri) sumbang gol pembukaan Dortmund.

Berlin: Borussia Dortmund mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Bundesliga selepas menang 3-1 di Borussia Moenchengladbach sekali gus mendekatkan diri dengan pendahulu Bayern Munich.

Gol Dortmund disumbangkan Marco Reus, Henrikh Mkhitaryan serta Ilkay Gundogan manakala Raffael menghasilkan gol sagu hati Gladbach. Kemenangan itu membolehkan Dortmund kini ketinggalan hanya lapan mata di belakang Bayern dan lapan mata di depan pasukan di tangga ketiga, Hertha Berlin.

“Memang seronok menang pada perlawanan ini kerana bukan mudah mengekang pergerakan Gladbach bagi tempoh 90 minit. Mereka juga pernah menundukkan Bayern,” kata pemain tengah kebangsaan Jerman Gundogan yang merujuk kemenangan 3-1 Gladbach ke atas Munich bulan lalu.

“Saya gembira kerana kami tidak berada terlalu jauh dengan Bayern. Harapnya kami akan terus melebarkan jurang antara kami dengan Hertha kerana dengan cara itu kami sudah boleh pasti berada di tempat kedua.”

Dortmund mendahului permainan di Borussia Park apabila hantaran Gundogan dalam kotak penalti disambar Reus yang melepaskan rembatan kencang pada minit ke-41.

Pada minit ke-50, Reus pula menjana pergerakan yang membolehkan Mkhitaryan yang tidak dikawal, menjaringkan gol kedua menerusi percubaan dalam kotak penalti.

Penyerang Brazil Raffael merapatkan kedudukan tujuh minit kemudian sebelum hantaran Mkhitaryan disambut Gundogan untuk gol ketiga ketika permainan berbaki 15 minit.

“Ia perlawanan yang sukar tapi kami sudah bersedia dan berhak menang 3-1,” kata Reus.

“Gladbach menyerang sejak awal dan mereka berani mengambil risiko.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:07 AM