MKHITARYAN (depan) jaringkan dua gol.
MKHITARYAN (depan) jaringkan dua gol.

AFP

Berlin: Borussia Dortmund memberi amaran awal kepada juara bertahan Bayern Munich selepas mereka membelasah Borussia Moenchengladbach 4-0 pada minggu pembukaan musim baru Bundesliga, kelmarin.

Selepas Juergen Klopp melepaskan jawatan musim lalu, jurulatih baru Dortmund, Thomas Tuchel memulakan tempoh memegang jawatan itu dengan bergaya apabila pemain sayap kiri Henrikh Mkhitaryan menyumbat dua gol selain masing-masing satu daripada Marco Reus dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Bayern memulakan kempen mereka memburu kejuaraan keempat berturut-turut dengan membelasah Hamburg 5-0 di laman sendiri, awal pagi kelmarin.

Namun juara Jerman 2012, Dortmund menggambarkan kelab Bavaria kendalian Pep Guardiola itu akan berdepan kesukaran musim ini dengan membenam Gladbach, yang berakhir di tangga ketiga musim lalu.

“Kekalahan ini memang tepat. Dortmund lebih bagus,” akui jurulatih Gladbach, Lucien Favre.

“Tempo permainan terlalu laju buat kami. Kami gagal mengawal permainan.”

Dortmund mendahului selepas hanya 15 minit apabila pemain sayap Jerman, Reus merembat masuk hantaran Shinji Kagawa, manakala Aubameyang menambah gol kedua apabila menanduk masuk hantaran lintang Marcel Schmelzer enam minit kemudian.

Bagi menggembirakan penyokong tuan rumah dalam kalangan 81,359 penonton, Dortmund menjadikan kedudukan 3-0 pada rehat babak pertama apabila Mkhitaryan menyumbat masuk pada minit ke-33 selepas Aubameyang merobekkan benteng pertahanan Gladbach.

Pemain kebangsaan Armenia itu menambah gol keempat Dortmund dan kedua peribadi pada minit ke-50 apabila dia menyepak masuk hantaran Reus.

“Kami sudah menang semua empat perlawanan setakat ini musim ini tanpa dibolosi sebarang gol. Kami bermain dengan baik hingga kini tapi tidak guna memuji kami kerana ia masih terlalu awal,” kata kapten Dortmund, Mats Hummels.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 11:46 AM