Singapura: Jika penyerang tidak menjadi, pemain Harimau Malaya yang boleh diharapkan untuk menggempur kubu Myanmar di Stadium Jalan Besar esok pastinya Azamuddin Mohd Akil yang juga dikenali sebagai Alex.

Kelincahan pemain sayap kanan itu pasti menjadi taruhan terbaik Dollah untuk meledak gol pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF itu.

Walaupun persembahannya di pentas antarabangsa tampak sedikit merosot berbanding aksinya di peringkat domestik bersama Pahang, Azamuddin, 29, percaya masanya akan tiba untuk dia kembali menyerlah.

“Saya sedar tahap perlawanan antarabangsa berbeza dengan aksi liga tempatan kerana lebih sukar.

“Memang saya akui prestasi saya akan menurun bersama skuad kebangsaan kerana bermain banyak perlawanan (Liga Malaysia), tapi saya sudah bersedia membantu pasukan kali ini,” katanya.

Bersama Harimau Malaya, Azamuddin pernah meledak gol di Stadium Jalan Besar pada 2012 ketika seri 2-2 dengan Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa.

Dia yang memiliki 25 cap sejak dipanggil menyertai skuad pada 2012 percaya Dollah mempunyai kombinasi terbaik bagi mengulangi kejayaan Piala AFF 2010.

“Saya percaya prestasi kami akan meningkat pada kejohanan sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:13 AM