Salam sejahtera kepada seluruh peminat yang sentiasa ghairah memberikan sokongan padu kepada bola sepak tempatan.

Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam aksi pembuka tirai kempen Piala AFF 2014 menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar, Singapura hari ini.

Seperti biasa, pasukan kebangsaan bakal membawa harapan menggunung dalam misi mencipta kemenangan. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan penyokong masih mengingati kejayaan hebat Harimau Malaya menjulang Piala AFF dengan menewaskan musuh tradisi, Indonesia secara agregat 4-2 dalam aksi final edisi 2010.

Kejayaan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal (gambar) itu menamatkan penantian 14 tahun sejak penyertaan pertama Malaysia dalam kejohanan berkenaan dikenali sebagai Piala Tiger ketika itu. Saya berpendapat ia tidak adil untuk menyamakan skuad 2010 dengan pasukan dibimbing Dollah Salleh kali ini.

Ramai pemerhati mula mengkritik prestasi Harimau Malaya selepas mempamerkan prestasi hambar dalam aksi perlawanan persahabatan, baru-baru ini. Saya selaku wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga kecewa tetapi ia tidak bermakna kita harus berhenti memberikan sokongan padu kepada Dollah.

Justeru, saya berharap peminat bola sepak negara terus berdiri teguh di belakang Harimau Malaya sepanjang kejohanan itu kerana saya percaya mereka akan mempamerkan kebangkitan prestasi.

Lebih mustahak, saya juga optimis skuad ini berupaya mengulangi ‘Magis 2010’ jika kita semua terus memberikan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:03 AM