INDRA (kanan) bersama Safiq Rahim selepas sesi latihan.
INDRA (kanan) bersama Safiq Rahim selepas sesi latihan.

Singapura: Malaysia tidak pernah menewaskan Singapura di kubu kuat musuh tradisi itu sejak 2002 dan mungkin rekod buruk 12 tahun itu bakal lebur pada pertembungan terakhir saingan Kumpulan B di Stadium Nasional, Kallang esok.

Kali terakhir Harimau Malaya melenyapkan ‘Sorakan Kallang’ dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger pada 18 Disember 2002 dengan penyerang Indra Putra Mahayuddin meledak dua gol.

Kali ini Indra yang sudah berusia 33 tahun masih berada dalam skuad dan dia mungkin sekali lagi boleh menjadi duri dalam daging kepada juara bertahan Singapura.

“Ini peluang terbaik untuk pemain termasuk senior pasukan ini membuktikan kemampuan.

“Sejarah biarkanlah menjadi sejarah. Kami kena buktikan dengan menang ke atas Singapura pada perlawanan terakhir ini untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Dalam 14 pertemuan sejak 2002, Malaysia hanya menang tiga kali, seri empat dan tewas tujuh termasuk pada pertemuan terakhir pada aksi kumpulan Piala AFF 2012.

Kali terakhir Malaysia, juara Piala AFF 2010 menewaskan skuad Singa itu pada 12 Jun 2012 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam dengan keputusan 2-0.

Indra yang masuk sebagai pemain gantian ketika skuad kendalian Dollah Salleh seri 0-0 dengan Myanmar dan kalah 2-3 di tangan Thailand tetap percaya mereka masih mempunyai kelebihan untuk mengatasi Singapura yang hanya memerlukan seri esok untuk mengiringi Thailand ke separuh akhir.

“Singapura mungkin ada sedikit kelebihan sebagai pasukan tuan rumah tapi dari segi permainan tidak ada beza dan saya percaya kami lebih bersemangat kali ini. Apa yang kami perlu lakukan supaya fokus dan berwaspada dengan gerakan set-piece mereka,” kata pemain FELDA United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:10 AM