SHAHRIL (kiri) enggan hampakan peminat sendiri.
SHAHRIL (kiri) enggan hampakan peminat sendiri.

Singapura: “Kami lebih tertekan,” kata kapten Singapura Mohammad Shahril Ishak menjelang pertembungan menarik dengan musuh tradisi Malaysia di Stadium Nasional, Kallang hari ini bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala AFF.

Melihat kepada kedudukan dalam Kumpulan B, Singapura lebih selesa dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Myanmar 4-2 walaupun tumpas kepada pendahulu Thailand 1-2 pada aksi pembukaan.

Seri juga sudah memadai untuk juara bertahan itu kerana Harimau Malaya kini hanya mengumpul satu mata namun Shahril, 30, menganggap kedudukan mereka belum selesa.

Dengan harapan cukup tinggi daripada peminat tempatan, Shahril yang sudah merasai kejuaraan tiga kali Piala AFF termasuk anugerah Pemain Paling Bernilai 2012 sedar tekanan lebih dirasai pasukan tuan rumah.

“Bagi saya, kami lebih tertekan kerana harapan peminat terlalu tinggi untuk kami menang di gelanggang sendiri.

“Kami tidak boleh ambil mudah perlawanan dengan Malaysia kerana pasti mahukan kemenangan untuk layak,” kata pemain tengah yang beraksi dengan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) itu.

Selepas dua musim beraksi dalam Liga Malaysia bersama LionsXII dan Johor DT II, Shahril percaya mereka amat mengetahui kemampuan Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh itu.

“Bagi saya Malaysia pasukan kuat, mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman. Walaupun menurunkan pemain simpanan mereka masih boleh bermain baik,” katanya yang meledak dua gol ketika Singapura menewaskan Malaysia 3-0 pada pertemuan terakhir di Piala AFF 2012.

Mengulas mengenai kelebihan pasukan tuan rumah yang sudah beraksi dua kali di Stadium Nasional berkapasiti 55,000 penonton sebelum ini berbanding Malaysia di Stadium Jalan Besar, Shahril berkata: “Saya fikir tiada kelebihan kerana kalau pasukan itu sudah boleh membentuk kombinasi yang baik, mereka boleh bermain di mana-mana saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM