GRADUAN pada majlis konvokesyen. FOTO fail NSTP Farhan Najib
GRADUAN pada majlis konvokesyen. FOTO fail NSTP Farhan Najib
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memohon kerajaan tidak mengurangkan bajet bagi sektor pendidikan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 28 Januari ini.

Presidennya, Zambri MohdIsa berkata, pihaknya memahami keperluan kerajaan untuk melakukan pengubahsuaian dalam Bajet 2016 bagi menstrukturkan semula ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, GPMS berharap kerajaan tidak sama sekali mengurangkan peruntukan sama ada bajet mengurus serta bajet membangun bagi kedua-dua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2016, Oktober tahun lalu.

"Dalam pembentangan Bajet 2016 lalu, kerajaan sudah mengurangkan peruntukan bagi sektor pendidikan tinggi sebanyak RM2.4 bilion atau 15 peratus. Ini menyebabkan peruntukan tahunan Universiti Awam (UA) terpaksa dikurangkan dan dikhuatiri akan menjejaskan pengurusan serta kualiti pengajian di UA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pengurangan bajet sektor pendidikan pastinya akan memberi kesan langsung kepada rakyat seperti kenaikan kos pengajian, pengurangan nilai pinjaman pendidikan dan biasiswa serta kekurangan alat bantuan mengajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 1:58 PM