Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Putrajaya: Pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus mulai Mac 2016 hingga Disember 2017 dijangka mampu meningkatkan perbelanjaan pengguna dan menggalakkan permintaan domestik.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, ini kerana pihaknya mengesan berlakunya kesederhanaan dalam perbelanjaan pengguna akibat pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.

“Berikutan pertumbuhan yang sedikit perlahan iaitu sekitar lima peratus yang dicatatkan pada tahun lalu, pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan yang dilakukan.

“Kerajaan perlu mengatasi masalah permintaan domestik yang menurun dan cara paling signifikan ialah dengan meletakkan duit dalam tangan pengguna,” katanya pada Forum Penjelasan Lanjut Mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

Menurutnya, cara paling mudah ialah melalui pengurangan caruman KWSP di mana ia akan memberi lebihan tunai kepada pengguna.

“Dengan cara ini, ia akan menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan pengguna yang seterusnya meningkatkan permintaan domestik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak bahawa simpanan untuk persaraan adalah sangat penting namun, langkah pemotongan caruman KWSP itu adalah untuk tempoh sementara.

Selain itu, Zeti berkata, langkah lain untuk menggalakkan permintaan domestik adalah melalui sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di mana pelbagai cara dilakukan kerajaan untuk meningkatkan sektor berkenaan.

“Kerajaan turut mengumumkan pelbagai bantuan untuk memastikan sektor PKS terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pembentangan pengubahsuaian bajet 2016 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengurangkan caruman KWSP pekerja sebanyak tiga peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:05 AM
ZETI bersama Abdul Wahid pada Forum Penjelasan Lanjut Mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016, semalam.
ZETI bersama Abdul Wahid pada Forum Penjelasan Lanjut Mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016, semalam.