Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kos pendidikan tidak perlu dikurangkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 berikutan ia adalah agenda penting negara dalam melahirkan modal insan untuk kemajuan negara pada masa depan.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, Pengubahsuaian Bajet 2016 adalah langkah bijak mengurangkan perbelanjaan negara, namun beliau berharap kerajaan tidak mengurangkan kos pendidikan.

“Selama ini pendidikan menerima peruntukan yang paling besar selain pertahanan. Kita harap tiada pemotongan bajet dibuat kerana untuk memajukan negara, kita perlu sediakan anak bangsa bijak pandai.

“Sekiranya bajet pendidikan dipotong, sudah tentu banyak program transformasi yang sedang dilaksanakan dalam pendidikan negara pada masa ini terkesan dan ini turut mengganggu proses pembangunan modal insan kita,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun beliau mencadangkan semua pihak dalam sektor pendidikan memainkan peranan memberi keutamaan kepada agenda penting yang hendak dilaksanakan dengan mengamalkan langkah penjimatan bagi membantu menyelamatkan wang negara daripada pembaziran.

“Saya melihat banyak perbelanjaan tak sepatutnya berlaku seperti pembelian peralatan gajah putih di semua sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) sedangkan kekerapan penggunaan peralatan seperti di makmal adalah kurang.

“Bagi saya, kaedah perkongsian peralatan seumpama ini di antara sekolah dan IPT berhampiran adalah satu langkah bijak untuk membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Selain itu, mana-mana program sambutan yang tidak sepatutnya diadakan perlu dikurangkan kerana ia juga mengeluarkan kos yang amat tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 8:30 AM