Universiti seharusnya menjana pendapatan menggunakan  aset dimilikinya, kata Menteri Pendidikan Tinggi. - Foto NSTP(Fail)
Universiti seharusnya menjana pendapatan menggunakan aset dimilikinya, kata Menteri Pendidikan Tinggi. - Foto NSTP(Fail)

Kuala Lumpur: Universiti awam tidak dibenar menaikkan yuran pengajian bagi pelajar prasiswazah meskipun peruntukan kepada sektor pendidikan tinggi berkurangan dalam Bajet 2016.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pengurangan peruntukan RM2.4 bilion untuk kementeriannya tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh universiti untuk menaikkan yuran pengajian.

"Sebanyak 90 peratus universiti awam masih bergantung kepada peruntukan kerajaan.

"Universiti itu seharusnya menjana pendapatan dengan menggunakan aset yang dimilikinya," kata Idris selepas mempengerusikan mesyuarat

International Education Task Force (IETF) di sini, hari ini.

Idris berkata tindakan mengurangkan kebergantungan universiti awam terhadap kerajaan selaras dengan hasrat yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) (PPPM (PT)).

Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat lalu, memperuntukkan RM13.378 bilion untuk Kementerian

Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu lima peratus daripada keseluruhan belanjawan berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 9:41 PM