Kuala Lumpur: Latihan pusat di Korea Selatan bermula hujung minggu ini diharapkan mampu meningkatkan kembali prestasi pemanah recurve negara bagi memastikan tiket acara berpasukan Olimpik Rio mampu diraih.

Anak buah Lee Jae-hyung mempamerkan persembahan hambar pada siri pertama Piala Dunia di Shanghai minggu lalu selepas turut gagal menyerlah di Piala Asia sebelumnya.

Namun persembahan di Shanghai lebih mengecewakan apabila empat pemanah negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad (gambar) gagal menempatkan diri pada kedudukan terbaik sekali gus menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke pusingan pertama acara berpasukan.

Situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan ketika aksi kelayakan berpasukan ke Olimpik hanya berbaki empat minggu sebelum berlangsung di Turki.

“Memang ada kelemahan dan penurunan prestasi. Saya turut berhubung dengan jurulatih (Jae-hyung) yang juga menyuarakan rasa ham
pa,” kata Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Yazid Yahya.

Tambah Yazid, kem latihan di Korea membabitkan empat pemanah iaitu Khairul, Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin dan Ikram Joni diharapkan mampu meningkatkan kembali prestasi mereka bagi merealisasikan harapan meraih tiket acara berpasukan.

“Mereka akan bertolak Jumaat ini dan kembali ke Malaysia pada Jun sebelum ke Turki.

“Mereka dijangka menyertai banyak kejohanan di Korea bagi membiasakan diri dengan persekitaran pertandingan sebenar. Pertandingan di Korea tidak boleh dipandang rendah kerana tahap pemanah negara itu yang sememangnya tinggi,” jelasnya.

Memanah sudah meraih tiket individu ke Olimpik Rio selepas Khairul menerusi aksi kelayakan pada Kejohanan Memanah Asia penghujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:46 AM