Naskhah al-quran dan surah yasin yang diselerakan lelaki mendakwa alami tekanan perasan akibat hutang along. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
Naskhah al-quran dan surah yasin yang diselerakan lelaki mendakwa alami tekanan perasan akibat hutang along. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI

Lumut: Seorang lelaki yang mendakwa mengalami gangguan jiwa dan tekanan perasan akibat dibelenggu hutang along bertindak luar kawalan dengan membuat kacau di sebuah masjid di Lekir, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek berumur 33 tahun itu masuk ke dalam Masjid Ar-Raudah, Batu 7, kira-kira jam 10.30 pagi sebelum membaling semua al-Quran dan kitab yang ada di rak.

"Suspek juga memijak al-Quran di lantai dan menyepahkan kain telekung serta sejadah.

"Selain masalah hutang dengan along, suspek juga mengakui mempunyai masalah perbelanjaan keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata perbuatan suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid selama 15

minit.

Katanya polis menahan suspek kira-kira pukul 2.45 petang hari yang sama dan kini direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Pengerusi masjid Abdul Rani Hashim ,64, berkata kehadiran suspek ke masjid itu disedari beberapa pekerja pembinaan di perkarangan masjid namun tidak mengesyakinya.

“Seorang kariah masjid yang baru selesai berwuduk terkejut melihat ruang solat utama dan bahagian solat wanita berselerak," katanya di sini, hari ini.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om pula kesal dengan kejadian itu dan berharap jawatankuasa surau atau masjid meningkatkan rondaan untuk mengelak kejadian sama berulang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:10 PM