KAMERA litar tertutup di bahagian tandas lelaki Masjid Umar Al-Khattab, yang juga lokasi cebisan al-Quran dibakar. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KAMERA litar tertutup di bahagian tandas lelaki Masjid Umar Al-Khattab, yang juga lokasi cebisan al-Quran dibakar. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Siti Azila Alias dan Zuhainy Zulkiffli


CEBISAN al-Quran dengan kesan terbakar ditemui dalam tandas Masjid Umar Al-Khattab, Bayan Baru, di Georgetown, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata, kejadian disedari seorang lelaki ketika memasuki tandas berkenaan kira-kira jam 5.25 petang lalu memaklumkannya kepada pengawal keselamatan.

Katanya, pengawal berusia 56 tahun itu kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati memang benar terdapat cebisan al-Quran dibakar di dalam tandas berkenaan dan melaporkannya kepada polis.

“Masjid berkenaan sememangnya menjadi tumpuan masyarakat Islam di negeri ini khususnya Bayan Baru.

“Malah, ia juga sering menerima kunjungan pelbagai kategori individu termasuklah yang kurang siuman.

“Bagaimanapun, semakan dengan ahli masjid mendapati, cebisan al-Quran yang dibakar itu bukan daripada masjid terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung penemuan itu serta pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat.

Sementara itu, pengawal keselamatan masjid berkenaan berusia 56 tahun yang enggan dikenali ketika ditemui wartawan berkata, dia tidak tahu motif sebenar kenapa al-Quran itu dibakar.

"Tidak tahu apa motif al-Quran itu dibakar, kami juga tidak mengesyaki sesiapa dan semuanya kami serah kepada pihak polis," katanya.

Pengawal keselamatan itu antara individu awal yang menjumpai cebisan Al-Quran yang dibakar dalam tandas lelaki masjid berkenaan.

Mengulas insiden itu, pengawal keselamatan terbabit berkata, ketika berada di ruang solat masjid berkenaan, dia didatangi seorang jemaah yang memaklumkan mahu bertemu dengan pihak pengurusan.

"Jemaah lelaki itu memberitahu menemui cebisan Al-Quran yang dibakar dan mengajak saya ke tandas itu. Bau kertas dibakar masih ada ketika saya masuk ke tandas itu dan mungkin ia baru saja dibakar," katanya lagi.

Katanya, selepas memaklumkan kepada pihak pengurusan masjid, dia membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru, dekat sini, pada jam 6.18 petang hari sama.

Katanya, mereka tidak tahu motif Al-Quran itu dibakar dan tidak mengesyaki sesiapa kerana masjid berkenaan memang sentiasa dikunjungi jemaah atas pelbagai urusan.

"Kamera litar tertutup pula hanya tertumpu pada bahagian depan pintu tandas, kerana itu kami serahkan semua kepada pihak berkuasa.

"Ini adalah kali kedua ia berlaku selepas kira-kira dua tahun lalu, namun pihak pengurusan tidak membuat laporan polis kerana ia sudah dibersihkan jemaah lain sejurus mereka tiba," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 5:55 PM