NORIZAN (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Takaful Ikhlas Family Berhad Nazrul Hisham Abdul Halim di taklimat media sempena Karnival Kewangan Terengganu.
NORIZAN (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Takaful Ikhlas Family Berhad Nazrul Hisham Abdul Halim di taklimat media sempena Karnival Kewangan Terengganu.
Sri Ayu Kartika Amri


PEMAIN industri insurans dan takaful tempatan optimis untuk meningkatkan kadar penembusan insurans dalam kalangan rakyat terutama di bawah pelan Perlindungan Tenang yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Komunikasi Korporat Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Norizan Hassan berkata, setakat ini terdapat 29,500 pemegang polisi Perlindungan Tenang di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun masih rendah berbanding populasi rakyat Malaysia ketika ini dan pihaknya bersama Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) akan bergerak lebih proaktif bagi memastikan keperluan perlindungan insurans dalam kalangan rakyat tercapai.

“Kami sudah melaksanakan promosi dan program turun ke padang terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi pendedahan komprehensif kepada masyarakat mengenai pelan Perlindungan Tenang yang menawarkan pelbagai pelan dengan nilai perlindungan sehingga RM50,000.

“Tahun lalu, terdapat 10 produk Perlindungan Tenang diperkenalkan oleh pemain industri yang terbabit iaitu AIA Berhad, Allianz Life, Great Eastern, Hong Long Assurance, Sun Life Malaysia, Tokio Marine Life, AIA Public Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Berhad, Takaful Ikhlas Berhad dan Allianz General Insurance.

“Selain itu, lebih RM2.74 juta tuntutan skim Perlindungan Tenang telah dibayar kepada waris yang dimanfaatkan 1,986 keluarga setakat Februari 2019,” katanya kepada media di Karnival Kewangan Terengganu, di sini.

Norizan berkata, penganjuran Karnival Kewangan yang dianjurkan BNM juga menjadi platform baik kepada pihaknya untuk memberikan lebih banyak pendidikan dan maklumat secara terus kepada masyarakat terutama di luar bandar.

Menurutnya, selain mengikuti Karnival Kewangan, PIAM juga akan meneruskan program ke PPR di luar Lembah Klang tahun ini.

“Sebenarnya masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai Perlindungan Tenang mampu milik ini termasuk caruman serendah RM3 sebulan dan mudah untuk semua golongan. Kami akan terus komited memberi pendedahan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, selain mampu milik, mudah difahami dan menyediakan proses tuntutan mudah, Perlindungan Tenang juga menyediakan nilai tambah kepada pemegang polisi seperti badal haji, wakaf, urusan pengebumian serta membaik pulih kediaman akibat bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:35 AM