Kuala Lumpur: AIA Bhd (AIA) menjangkakan industri insurans hayat berkembang satu digit berbanding tahun lalu bersandarkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan perlindungan dalam kehidupan membabitkan kos perubatan yang meningkat.

Pertumbuhan insurans hayat dilihat berpotensi tinggi untuk berkembang tahun ini memandangkan jurang pengambilan insurans hayat di kalangan rakyat Malaysia masih tinggi.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Serantau Kumpulan AIA Anusha Thavarajah berkata, suku pertama tahun ini dilihat berlaku sedikit kelembapan dalam industri insurans hayat berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, perkembangan insurans hayat bersifat bebas daripada kesan perubahan ekonomi yang sukar dijangkakan ketika ini.

Daripada segi mengukuhkan kedudukan AIA di Malaysia pula, katanya, kerjasama dengan Public Bank bagi mewujudkan bankatakaful, AIAPublic Takaful Bhd menunjukkan prestasi memberangsangkan dan kerjasama dengan Citibank.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:14 AM